Blogger Tricks

Hukum Penerokaan Tanah Secara Tidak Sah


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan mengenai Hukum Penerokaan Tanah Secara Tidak Sah. Muzakarah telah memutuskan bahawa :

1 . Seksyen 40 Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa semua tanah Kerajaan dalam wilayah negeri dan semua bahan galian dan bahan batuan yang terkandung di dalamnya yang belum dilupuskan adalah hak tunggal pihak berkuasa negeri.

2 . Seksyen 48 Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa tiada hak milik tanah Kerajaan boleh diperolehi secara pegangan, pendudukan tak sah atau pendudukan di bawah mana-mana lesen untuk selama mana sekali pun.

3 . Seksyen 78(3) Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa pemberi milikan tanah Kerajaan berkuatkuasa mulai daripada tarikh pendaftaran hak milik. Selagi hak milik belum didaftarkan, tanah yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri untuk diberi hak milik itu masih lagi kepunyaan Kerajaan.

4 . Seksyen 425(1) Kanuan Tanah Negara memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang tanpa wibawa yang sah :

a) menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah Kerajaan, tanah rezab atau perlombongan:

b) membersih, membajak, menggali, mengepungi atau menanami mana-mana tanah sedemikian atau bahagian darinya; atau

c) memotong atau mengalih apa-apa kayuan atau hasil atas atau dari tanah sedemikian
adalah melakukan kesalahan dan boleh jika disabitkan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau pemenjaraan untuk tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

5 . Berdasarkan peruntukan-peruntukan di atas, beberapa kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah yang melibatkan pembukaan, penerokaan atau pendudukan tanah Kerajaan tidak mengambil kira atau mengiktiraf prinsip Ihya' al-Mawat. Sebagai contoh dalam kes Sidek bin Haji Muhamad & 461 Ors. v. The Government Of The State Of Perak & Ors. (1982) 1 MLJ 313, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peneroka yang membuka dan menduduki tanah hutan Kerajaan di kawasan Kampung Gajah, Daerah Perak Tengah, Teluk Anson, Perak adalah setinggan dan tidak mempunyai hak di sisi undang-undang atau ekuiti. Rayuan peneroka-peneroka yang terlibat untuk diberi hak sebagai pemilik tanah berkenaan telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

6 . Justeru itu, bagi membolehkan prinsip Ihya' al-Mawat diiktiraf dan diterima pakai dalam Kanun Tanah Negara, pindaan-pindaan yang sewajarnya perlu dibuat kepada peruntukan-peruntukan yang berkaitan dalam Kanun Tanah Negara.

Topik:

0 ulasan: